Jejak Perjalanan....

Saturday, April 20, 2013

Profesional Yang Tidak Profesional



          Budaya pemikiran ` copy & paste ' di kalangan profesional kita amat membimbangkan. Amalan `bonceng gratis ' juga menjadi semakin serius di negara kita dan apakah yang akan terjadi jika ianya terus dibiarkan dan dihalalkan ? Stigma yang boleh menjadi penghalang kepada kemajuan bangsa Malaysia apabila ingin mencapai status negara maju . Negara mengidamkan sentuhan-sentuhan ajaib dari anak bangsa Malaysia sendiri . Justeru itu di kalangan profesional negara perlu melihat lebih jauh ke hadapan agar negara boleh bersaing dari segala aspek baik dari segi ekonomi dan sebagainya. Masih terlalu banyak yang perlu dibuat oleh golongan profesional kita untuk memartabatkan bidang bidang tertentu agar setanding dengan negara-negara maju yang lain. Sebagai contoh bidang perubatan , kejuruteraan, teknologi telekomunikasi, bidang pembelajaran, kaedah-kaedah terbaru teknologi pembuatan dan sebagainya amat-amat menantikan sentuhan dari warga atau anak Malaysia sebagai pencipta atau pelopornya. Ini sudah tentu akan menjadi suatu fenomena baru dalam dunia industri global. 

        Di Malaysia, kita sememangnya telah dihidangkankan keadaan yang mewah dan serba mencukupi baik dari segi meterialistik atau dari segi kehidupan . Serba serbinya mewah dan semua barangan atau perkhidmatan amat mudah diperolehi di sana sini. Akan tetapi sedarkah kita akan semua barangan berkenaan walaupun mudah didapati datangnya dari negara-negara luar walaupun kadang-kadang ada di antara barangan berkenaan kita sendiri boleh atau ada kepakaran untuk membuatnya. Sungguh menghairankan lagi, kalau sesuatu barangan itu sendiri walaupun sama dari fungsi dan kegunaannya tetapi kita semua lebih terdorong untuk mencari barangan dari luar negara dari barangan negara kita sendiri kononnya ia lebih dari segi kualitinya. Benarkah begitu ? Atau ada sesuatu yang tersembunyi sebabnya untuk kita memilih untuk menggunakan barangan dari luar . 

        Memang tiada salahnya jika kita memilih untuk tidak menggunakan barangan buatan kita sendiri. Itu menjadi hak seseorang dan kebebasan memilih. Hak kebebasan memilih ! Namun begitu jika difikirkan dari konteks prinsip moral dan nasionalisma , adalah lebih elok jika kita ada perasaan bangga dan megah apabila kita sendiri yang menjadi penggunanya . Kita harus yakin yang barangan ataupun produk kita tidak kurang standard atau tarafnya dari barangan yang datang dari negara lain. Begitu juga dengan konsep berfikir atau metadologi tentang sesuatu perkara atau cara penyelesaian sesuatu perkara. Kita boleh juga menentukan cara-cara yang lebih sesuai dengan ' orang Malaysia ' untuk maju dan memperoleh sesuatu kemajuan tanpa merujuk atau bertanyakan pihak 'orang puteh ' yang semua sudah maklum kononnya mereka adalah pakar rujuk kepada kemajuan. Negara sememangnya sudah lama merdeka,namun begitu kesan dari lebih 400 tahun penjajahan bangsa asing terhadap negara kita telah meninggalkan kesan yang lama lagi mendalam terhadap sosial budaya dan cara kita berfikir. Fikiran kita telah juga terjajah ! Profesional dan cerdik pandai kita kurang menyerlah dari segi 'performance' mereka sebagai profesional. Ini realiti yang kita telah dipertontonkan di hadapan mata kita cuma ada yang tidak sedar saja tentang ketiadaan profesionalisme dan semangat mereka . Menjadi golongan profesional yang tiada profesional ,memang amat menyedihkan bagi negara . Banyak wang sudah dilabur oleh negara untuk menjadikan 'segolongan ' {profesional } rakyat negara ini menjadi seorang yang profesional. Akan tetapi berapa ramai dari mereka yang benar-benar berfungsi semaksimun yang sepatutnya. Ramai di antara mereka yang sekadar ' cukup-cukup makan sahaja ' ! Ini yang amat menyedihkan bagi negara kita. Kita semua boleh bersikap hipokrit serta menidakkan ' kecacatan kita ' sendiri . Umpama seorang yang ingin menakluk puncak gunung yang tinggi dengan hanya menumpang pesawat helikopter untuk mendarat di sana. Oh , begitu mudahnya........... 

      Sikap serta pemikiran oleh sekelompok profesional kita amat mengecewa serta merugikan organisasi khususnya dan negara amnya. Kebanyakan dari mereka ini tidak mahu langsung mencabar status quo mereka dan keadaan semasa. Mereka lebih bersikap pasif pada daya usaha mencipta sesuatu yang menjadi keperluan dalam dunia hari ini . Dalam pelbagai bidang memang wujud peluang-peluang penambahbaikan yang diperlukan . Cuma daya usaha dan tumpuan fikiran kearah mereka cipta sesuatu yang kurang pada profesional negara kita. Di sektor awam khususnya, segolongan besar profesional kita masih berada di bawah tahap sebenar kemampuan mereka. Profesional perkhidmatan awam bagai terkulai layu dengan hanya bermegah dengan pangkat serta gred mereka pada skim perkhidmatan awam. Mereka tidak berfungsi dengan apa yang sepatutnya. Tidak berpandangan jauh dan mempunyai semangat yang begitu rendah untuk maju. Maju dari segi output organisasi, bukan maju pada kenaikan pangkat serta gred gaji . Ini amat merugikan kerajaan ,negara serta rakyat Malaysia keseluruhannya. Negara amat memerlukan pelbagai ' sentuhan ajaib ' dari kalangan profesional kita sendiri. Bukan ' penyelesaian dari pihak luar' yang dianggap mudah lagi cepat. Dari segi moral , kita jauh lebih terkebelakang apabila kita sendiri membuat keputusan untuk terus mengambil jalan mudah dengan menggunakan saja hasil ciptaan 'orang luar ' yang sedia ada. Akan tetapi perlu difikirkan golongan pencipta akan terus dimartabatkan ketinggian mereka dalam sejarah ketamadunan manusia. Untuk itu jika kita ingin memertabatkan bangsa Malaysia,tidak dapat tidak ,golongan profesional kita harus mempunyai daya usaha dan pemikiran kritis dan inovasi dengan berlumba lumba mengetengahkan hasil ciptaan masing masing terhadap dunia . Hakikat sejarah yang kita tidak boleh nafikan , pencipta adalah lebih tinggi darjatnya dari pengguna. Kita di Malaysia lebih gemar berfikiran 'short cut ' dengan terus menjadi pengguna dan kita selesa di tahap itu. Adakah ianya berbaloi ! Sebahagian besar profesional kita tidak berfungsi sebagai profesional. Mereka lebih selesa dengan tahap ' menjadi pelaksana kepada kemajuan orang lain ' . Persoalannya, sampai bilakah kita akan menjadi pencipta ? 

       Majlis Profesor Negara harus menjadi ' pusher ' ke arah ini. Kalau tidak, bagi pandangan penulis negara kita akan terkenal menjadi salah sebuah negara yang begitu ramai ' profesional pelaksana ' pada kaca mata dunia. Mungkin kita akan bersikap syok sendiri tetapi pada hakikatnya kita hanya menjadi pengguna yang terhebat di dunia. Tidak lebih dari itu . Malaysia tidak seharusnya melahirkan ramai ' profesional robot ' tetapi negara kita perlu ramai ' Creator Professional ' atau profesional cipta. Dengan itu nescaya Malaysia yang kita sayangi ini akan terlonjak kedudukannya dengan kemajuan reka ciptanya. Kerajaan ,negara serta rakyat terpaksa menanggung rugi yang bukan sedikit jumlahnya jika kemampuan profesional kita tidak digunakan semaksimunnya. Apabila kita memegang amanah untuk menjadi seorang yang profesional maka menjadi tanggungjawab yang besar yang harus dipikul untuk negara dan manusia sejagat. Pemikiran ini harus tersemat di sanubari dan menjadi falsafah mereka sampai bila bila. Umpama falsafah serta prinsip seorang doktor terhadap pesakitnya. Begitu jugalah pada profesional yang lain. Bak kata pepatah melayu, ' bagai melepas batuk di tangga ' itulah hakikat yang terpaksa di telan oleh kita dan telah menjadi amalan serta sikap sebahagian besar profesional di Malaysia. Sayang , seribu kali sayang, apabila menjadi profesional yang tidak profesional .

No comments:

Post a Comment

TRAVELOG 2023 - TERJAHAN MEREDAH BENUA  ( London , United Kingdom /Prague-Czech Republic/Vienna Austria/Istanbul Turkiye') 10 Januari, s...