DILEMA KEHIDUPAN PENJAWAT AWAM
DI ALAF METROPOLITAN
Pengenalan
Kakitangan awam merupakan aset modal insan atau tunjang kepada kerajaan dalam melaksanakan polisi-polisi kerajaan . Mereka juga penggerak utama dalam merealisasikan impian kerajaan yang bakal menuju negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Justeru itu, kakitangan awam di seluruh negara dikehendaki melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan ,kemahiran insaniah ( Soft Skill’s )dan nilai-nilai murni dalam menunaikan tanggungjawap kepada rakyat amnya serta kerajaan Malaysia khasnya.Modal insan yang produktif ,inovatif ,pragmatif dan karismatis dalam perkhidmatan awam dapat menjadi pemacu di dalam peningkatan urus takbir korporat kerajaan dan secara langsung akan menyumbang dalam pembangunan prasarana dan ekonomi negara.Peranan kakitangan awam menjadi begitu penting dan strategik untuk pembangunan negara harus dilihat sebagai suatu pemangkin dan tulang belakang ( Back Bone ) kepada sektor swasta dan juga golongan korporat dan peniaga. Segala hasil ( Out put ) dari kerajaan akan menjadi indikator kepada rakyat sebagai pemberi amanah kepada kerajaan , swasta yakni golongan korporat dan peniaga , para-para pelabur dalam dan luar negara dan juga kesannya akan turut dinilai oleh para ekspatriat negara-negara luar. Justeru itu kakitangan awam tidak dapat tidak , mesti berusaha kearah merealisasikan impian kerajaan dengan melaksanakan kerja dengan komited dan berintegriti , supaya hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju akan tercapai jua akhirnya menjelang tahun 2020. Menyedari pentingnya peranan kakitangan awam , semua pihak harus sedar yakni rakyat ,pihak swasta serta peniaga,mahupun kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai badan pengurus bagi pihak kerajaan, harus peka tentang perkara-perkara berbangkit yang melibatkan permasalahan kakitangan awam serta harapan dan timbal balas kepada mereka sebagai faedah bersama haruslah dalam keadaan menang-menang. Dalam memenuhi tuntutan perkhidmatan yang berkualiti tinggi mengikut spesifikasi yang hendak dicapai, baik diperingkat dalam mahupun luar negara, pihak pelaksana iaitu kakitangan awam , terpaksa menempuh pelbagai kesukaran dan cabaran untuk terus hidup dan dianggap berstatus seorang yang berjaya.Bercakap soal kejayaan dalam kehidupan pula merupakan sinonim kepada generasi sekarang yang pada umumnya rata-rata individu telahpun bergelar seorang graduan apabila memiliki segulung sijil,diploma,ijazah sarjana muda, ijazah lanjutan serta doktor falsafah dari institusi-institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta. Mereka secara kebiasaan akan cuba menghampiri apa-apa bentuk kejayaan dan telah menjadi fitrah manusia akan tertarik pada kejayaan . Hukum Tarikan ( The Law of Attraction’s ) mengatakan wujud faktor-faktor tertentu yang mungkin dipanggil ‘Faktor X’ ( The X Factor ) dalam mempengaruhi keputusan-keputusan yang akan dan sudah diambil oleh mereka tentang sesuatu perkara yang melibatkan faedah-faedah tertentu untuk diri mereka sendiri,keluarga serta masyarakat amnya.
JUSTIFIKASI ISU
Terdapat beberapa faktor utama atau desakan kuat kenapa isu ini diketengahkan oleh pihak pekerja adalah wujud beberapa perkara pokok yang relevan untuk dinilai dan diperhalusi oleh pihak-pihak yang berkaitan . Umpama kita cuba mengemas sesuatu atau bergotong royong masih terdapat banyak sampah sarap yang perlu dibuang atau kekotoran yang perlu dicuci, ia boleh jua ditafsirkan sebagai bedah siasat (Post Mortem ) bagi majikan, mencari atau menyiasat punca-punca sesuatu kelemahan ,kegagalan,kesilapan atau perkara-perkara yang menjadi duri dalam daging yang mungkin menjadi punca kepada ketidakcekapan didalam perkhidmatan (Route Cause Analysis ).Itu jika dari segi kontranya, dari segi pronya pula, atau lebih tepat lagi dari sudut pandangan positif,ia boleh ditafsirkan sebagai langkah-langkah penambahbaikan ( Penyelidikan & Pembangunan ,R&D. )kepada pihak pengurusan sumber manusia dan modal insan . Ini boleh menjadi skim galakan dan kebajikan kepada kumpulan pelaksana atau pekerja,pengurusan dan profesional, dan juga kepada audien yakni masyarakat umum tentang daya penarik (attraction ) yang boleh didapati dalam organisasi yang terlibat. Daya penarik merupakan elemen penting dalam pemasaran sesuatu barangan atau perkhidmatan kerana ianya akan meningkatkan nilai sesuatu entiti ke tahap kemasyhuran.Begitu jugalah dalam memangkinkan semangat pekerja-pekerja dalam perkhidmatan awam ,beberapa petunjuk (indikator) yang boleh menyebabkan motivasi atau kebolehsanggupan seseorang kakitangan awam meningkatkan mutu kerja dan produktiviti adalah dengan memberi mereka beberapa insentif khas yang relevan kepada kakitangan sebagai skim galakan secara tidak langsung oleh pihak majikan kepada pekerja atau pegawai yang berkhidmat dalam ruang lingkup sesuatu kawasan khususnya yang berstatus Wilayah Persekutuan . Menyentuh tentang insentif khas wilayah persekutuan,penulis difahamkan memang ada bayaran diberikan kepada sebahagian kakitangan awam,akan tetapi itu cuma bayaran bagi kakitangan awam yang berkhidmat dari semenanjung Malaysia ke Sabah atau Sarawak dan begitu juga kalau kakitangan terbabit dikehendaki bertugas dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung. Bayaran yang dimaksudkan itu adalah elaun wilayah dari kerajaan negeri dan persekutuan .Tetapi sungguhpun nama elaun wilayah diberikan sebagai insentif ,penulis berpendapat ia lebih sesuai diberi nama lain dan bukan elaun wilayah . Bagi penulis nama yang sesuai adalah Bayaran Elaun Khas Seberang Laut atau elaun negeri.Sebab ia dibayar oleh pihak majikan kepada kakitangan jika ada keadaan pertukaran tempat bertugas seperti mana yang telah dinyatakan tadi berlaku.Penulis sejak dari dulu lagi tidak bersetuju dengan transkripsi terma elaun wilayah yang telah diterima pakai sejak dahulu sehingga sekarang kerana ia dengan jelas tidak melambangkan apa yang berlaku sebenarnya berlaku atau berjalan .Bagi penulis bayaran elaun wilayah yang telah diterima oleh segelintir kakitangan awam sekarang sebenarnya adalah elaun seberang laut dan ia dibayar oleh kerajaan negeri atau persekutuan.Insentif Khas Wilayah Persekutuan (IKWP) sebenarnya harus diberi kepada semua penjawat awam yang bertugas di sekitar kawasan berstatus Wilayah Persekutuan seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,Wilayah Persekutuan Putra Jaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.Ianya boleh juga dipanjangkan kepada bandaraya-bandaraya besar yang berstatus maju seperti Bandaraya George Town Pulau Pinang dan Bandaraya Johor Bahru,Johor yang mempunyai kos sara hidup yang begitu tinggi .
SUSUT NILAI PENDAPATAN AKIBAT PERUBAHAN STATUS
Apabila status sesebuah kawasan telah dinaikan taraf sebagai contoh dari bandar ke bandaraya atau bertukar ke status Wilayah Persekutuan, secara automatik kawasan berkenaan akan mengalami perubahan yang ketara dari segi kos sara hidup disebabkan oleh faktor-faktor nilai hartanah serta permintaan kepada aktiviti-aktiviti perniagaan menjadi semakin rancak. Nilai hartanah akan melambung tinggi dan sudah tentu nilai jualan rumah kediaman turut meningkat naik dengan ketara .Ini termasuk kadar sewaan kediaman di kawasan sekitarnya juga akan meningkat berbanding dengan kawasan-kawasan yang bukan berstatus bandaraya.Apabila kadar jualan hartanah melambung tinggi dan kadar sewaan di premis-premis perniagaan meningkat, ini sudah tentu akan meningkatkan juga harga jualan barangan pengguna,makanan serta perkhidmatan terhadap penduduk-penduduk di kawasan berkenaan . Mereka mungkin tiada pilihan melainkan terpaksa membayar pada harga yang lebih tinggi bagi setiap barangan atau perkhidmatan yang dilanggani. Ini termasuk segala peningkatan kos kehidupan dikawasan berkenaan . Oleh itu ,penduduk-penduduk yakni pekerja-pekerja di kawasan berkenaan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk menampung segala kenaikan kos yang berlaku akibat dari pelbagai faktor termasuk aktiviti perniagaan yang rancak , juga terdedah kepada spekulasi-spekulasi perniagaan dan perdagangan luar kawalan.Para pemaju perumahan dan hartanah juga menjadi faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup di kawasan berkenaan. Kebiasaannya aktiviti-aktiviti spekulasi luar kawalan ini akan melonjakkan aktiviti perniagaan dan sudah tentu kesannya akan dapat dirasai oleh semua penduduk-penduduk akibat nilai jualan di kawasan berkenaan meningkat.Ini akan menjadikan nilai wang penghuni-penghuni bandaraya dan wilayah persekutuan akan menjadi susut dengan ketara sekali. Pekerja-pekerja dalam sektor awam yang bertugas didalam kawasan terbabit akan mengeluarkan wang gaji mereka untuk menampung dan menyerap segala macam peningkatan kos yang berlaku . Ini tentu tidak adil jika tiada sumber lain yang dapat mengimbangi kadar kehilangan nilai wang mereka (susut nilai )dengan ketara. Oleh yang demikian ketidakseimbangan nilai wang para pekerja di kawasan berkenaan akan memberi kesan langsung dalam mutu kehidupan mereka dan juga dibimbangi akan mengurangkan juga mutu kerja dan produktiviti organisasi. Ia mungkin merupakan perkembangan modal insan yang tidak sihat dan berkemungkinan akan merebak lagi isu-isu lain seperti kemiskinan bandar, sosial,perpecahan dan perbalahan keluarga, jenayah ,perjudian,along,wang panas,skim cepat kaya dan sebagainya yang titik bengik asalnya adalah dari masalah kewangan.Wang boleh diibaratkan madu dan juga racun dalam kehidupan . Memang benar wang bukan segalanya dalam kehidupan,akan tetapi ia merupakan agen dan motivasi penting dalam kehidupan manusia sejagat.Tanpa wang yang mencukupi kehidupan sempurna sukar dicapai. Untuk meningkatkan jumlah pendapatan ,seseorang itu sanggup melakukan apa saja demi untuk memenuhi kehidupan diri sendiri dan juga keluarga masing-masing.Ada yang cuba menggunakan segala kebolehan serta bakat yang ada semata-mata untuk mendapatkan dan meningkatkan jumlah pendapatan.Dunia menjalankan perniagaan juga semata-mata untuk memperolehi wang yang akan digunakan untuk pelbagai tujuan dan agenda manusia sejagat,politik serta kemajuan negara masing-masing.
BAHAYA SISTEM KAPITALIS KEPADA SEMUA
Sistem ekonomi ala kapitalis yang dipelopori negara barat dipercayai telah menular dan diamalkan dengan ketaranya oleh sesetengah pihak di negara ini.Ini amat dibimbangi kerana kesannya untuk generasi akan datang amatlah besar.Sistem ekonomi ala kapitalis yang lebih mementingkan keuntungan besar dan segera ini amat bahaya jika dikaji dengan mendalam . Kita dapat lihat sekarang banyak gergasi ekonomi dari barat yang mempelopori dan berpaksikan ekonomi ala kapitalis telah mengalami keruntuhan satu persatu.Seluruh rakyat Malaysia harus sedar tentang bahaya ini. Sikap tamak haloba oleh manusia-manusia rakus bakal mengundang malapetaka pada diri sendiri dan generasi akan datang.Aktiviti-aktiviti ekonomi yang berteraskan spekulasi melampau harus dipantau dan diikat oleh suatu akta supaya ianya tidak menjadi igauan ngeri suatu hari nanti.Usah kita biarkan penyangak-penyangak korporat mengeksploit serta mengambil kesempatan diatas kelemahan dan kesengsaraan orang lain. Malaysia harus maju pada acuan kemajuan yang tersendiri baik dari segi ekonomi,sosial, pembangunan serta daya cipta yang tidak sahaja berteraskan barat untuk melakukan transfomasi. Kita tidak kurang dari segi kebolehan untuk maju asalkan kita mempunyai suatu semangat untuk maju . Tidak semestinya ilmu yang hebat itu berada ditangan orang puteh.Perubahan minda harus berlaku yang kita sendiri mampu menerjah dan mencipta sesuatu yang luar biasa yang belum pernah orang puteh buat. Percayalah ,kita sudah lama merdeka, dan kita mampu membuat segala keputusan sendiri.Itulah erti kemerdekaan sebenarnya. Mampu membuat keputusan sendiri dengan yakin. Kita harus berani mencabar perkara-perkara aneh dan pelik agar menjadi suatu ciptaan yang dapat dimanfaatkan oleh negara serta seluruh penghuni dunia sejagat.Itulah kehebatan pencipta-pencipta yang telah mewarnai kehidupan dunia sejagat. Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu,melainkan kaum itu sendiri yang sanggup merubahnya.Berani mencabar sesuatu yang biasa akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Cerdik pandai Malaysia harus merevolusikan kembali ilmu yang tidak hanya berpaksikan barat.Orang Malaysia tidak kurang hebatnya dan keputusan yang kita buat mengikut acuan kita sendiripun mampu menerjah kecemerlangan.Cuma apa yang perlu adalah yakin , sabar dan percaya terhadap keputusan yang kita buat. Kepercayaan mampu membuktikan sesuatu,inilah produk penyelidikan sebenarnya. Selamatkanlah Malaysia dari amalan sistem kapitalis.Penulis menyarankan agar Majlis Profesor Negara yang ditubuhkan kerajaan dapat memainkan peranan secara aktif dalam menjadi aktivis kepada masyarakat Malaysia keseluruhannya supaya masyarakat dan negara mendapat faedah besar hasil dari cerdik pandai kita sendiri. Majlis Profesor Negara harus berani mencabar ilmu-ilmu yang dipelopori barat,dalam konteks ingin melakukan sesuatu yang ‘baru dan segar’ hasil dari ciptaan sendiri.Pemikiran dan amalan bonceng gratis oleh segelintir profesional kita pada cara-cara barat harus dihentikan. Ia juga harus bersifat nasionalis dan patriotik yang bakal menjadi kebanggaan negara serta generasi Malaysia akan datang. Penulis sengaja meluaskan sedikit skop penulisan agar ia dapat dilihat dalam konteks yang lebih luas dan bukan sahaja untuk kepentingan penjawat awam tapi untuk semua . Suatu transformasi pemikiran harus berlaku kepada semua golongan warga Malaysia .Memang senang untuk kita menggunakan sahaja apa-apa(‘produk-produk’) yang berada disekeliling kita dari kita sendiri yang cuba menjadi pencipta kepada sesuatu(‘produk’), tetapi harus diingat bahawa pencipta sentiasa berada ditahap yang teratas dalam hareiki ketamadunan manusia sejagat dan alam semesta. Renung-renungkanlah.Impak dari amalan kapitalis boleh menjadi beban yang besar kepada semua khususnya kepada golongan pekerja di sektor awam ,sektor swasta, rakyat Malaysia amnya dan juga untuk generasi akan datang. Membuat spekulasi yang melampau terhadap nilai sesuatu barangan atau perkhidmatan boleh memberi kesan langsung kepada susut nilai wang para pekerja perkhidmatan awam, swasta dan rakyat keseluruhannya .Bagi mereka yang memilih untuk menetap di bandar-bandar besar pasti akan merasa tempias langsung dari keadaan susut nilai yang melampau ini.Semua barangan atau perkhidmatan yang dilanggani perlu dibayar pada kos yang tinggi. Ini amat membebankan rakyat serta hidup akan menjadi begitu susah dari masa ke semasa. Semua ini hasil dari suatu sistem yang kita sendiri relakan ianya terjadi. Hujah ini perlu diluaskan sedikit agar semua dapat memahami akan hubungkaitnya dengan kita dan bahayanya kepada anak serta cucu cicit kita suatu hari nanti.Kebimbangan ini sama seperti gambaran sebuah filem dari Hollywood yang berjudul Repo-men yang mana dalam cerita tersebut organ-organ transplant palsu seperti jantung,mata,telinga ,buah pinggang dan lain-lain mendapat permintaan yang tinggi oleh manusia pada masa hadapan demi semata-mata untuk meneruskan kehidupan.Sebuah pusat pengeluaran organ-organ palsu wujud untuk memenuhi permintaan manusia di seluruh dunia dan organ-organ ini dijual dengan pelbagai kaedah kepada manusia dan ia boleh dibeli dengan bayaran ansuran di bawah kendalian sebuah agensi .Kepada sesiapa yang gagal untuk membayar ansuran atau hutang dengan sempurna, ia akan diburu dan dibunuh oleh egen-egen pengutip hutang dari agensi pemberi hutang berkenaan. Ini menimbulkan ketakutan yang amat sangat kepada manusia yang terpaksa berhutang organ untuk terus hidup. Cerita ini amat menarik untuk ditonton dan ia banyak memberi pengajaran dan keinsafan kepada kita. Senario dalam cerita tersebut yang boleh penulis simpulkan ialah tentang mungkin pada suatu hari nanti manusia di seluruh dunia akan bergantung harap kepada organ-organ palsu dan terpaksa membayar dengan kos yang begitu tinggi untuk meneruskan kehidupan . Kesihatan pada suatu hari nanti akan didagangkan dengan nilai yang begitu tinggi sekali sehingga menjadi dilema yang menakutkan kepada manusia sejagat. Akan ada golongan yang akan menangguk di air yang keruh diatas kesengsaraan insan lain . Tidak salah jika penulis ramalkan yang mungkin pada masa sekarang dan masa hadapan banyak sektor lagi akan dijadikan bahan dagangan utama yakni dikomoditikan seperti makanan ruji utama,kediaman,pendidikan,perkhidmatan,perhubungan dan lain-lain lagi.Semua manusia diseluruh dunia perlu mempunyai jumlah pendapatan yang begitu tinggi demi semata-mata untuk memenuhi hanya kehidupan asas sahaja. Sejauh mana ramalan ini benar ,cuma masa akan menentukan.
Para-para pembuat keputusan,profesional,penyelidik,pengajar,ahli-ahli politik dan cendekiawan,tokoh-tokoh agama,pertubuhan bukan kerajaan (NGO),serta masyarakat amnya boleh serta mampu untuk menjadi penyelamat kepada suatu kehidupan yang lebih senang,tenang,nyaman dan tenteram.Ketenteraman hati dan jiwa masyarakat mampu menyelesaikan banyak masalah yang wujud baik dari segi agama,sosial,ekonomi,kesihatan serta keselamatan.
BAJET 2012 DAN KAKITANGAN AWAM
Pada tanggal 7 Oktober 2011, YAB Perdana Menteri Malaysia ,Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah membentangkan bajet 2012,yang secara umumnya bolehlah disimpulkan bajet untuk rakyat.Itu memang diakui dan dipercayai dapat meransang dan menjana ekonomi dan pendapatan negara dalam meneruskan kesinambungan dan kelangsungan kemajuan negara Malaysia yang tercinta.Di samping itu bajet berkenaan dapat memberi impak yang besar dalam memelihara kredibeliti kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat selari dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan .YAB Perdana Menteri telah juga mengumumkan beberapa insentif khas yang membabitkan kebajikan kakitangan dalam perkhidmatan awam. Skim baru SBPA ( Skim Baru Persaraan Perkhidmatan Awam ) telah mengantikan SSM (Skim Saraan Malaysia ),yang mana faedah jangka panjang untuk kakitangan awam dimana tanggagaji telah dipanjangkan serta kenaikan gaji tahunan telah bertambah. Selain itu, bagi kakitangan yang memilih opsyen ke SBPA ,mereka akan menikmati kenaikan gaji dari antara 7%-13% dari gaji asas semasa mereka mengikut gred.Namun dengan tentangan hebat dari beberapa pihak khususnya CEUPACS terhadap perlaksanaan SBPA , YAB Perdana Menteri telah membuat pengumumam pembatalan perlaksanaan tersebut dan meneruskan sistem saraan yang sedia ada tetapi dengan mengekalkan imbuhan serta faedah gaji kepada kakitangan awam. Juga diumumkan pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK ) dan mengantikan sistem penilaian baru (PROSPEK ) yang pada asasnya akan menilai tahap prestasi kakitangan awam secara lebih menyeluruh (360 ) bukan lagi berpandukan pada mekanisma seperti sebelumnya.Umur persaraan juga telah dilanjutkan dari 58 tahun ke 60 tahun.Selain Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC), Pingat Khidmat Cemerlang (PPC) merupakan produk inovatif terbaru kerajaan sebagai satu lagi bentuk penghargaan kepada kakitangan awam yang member sumbang bakti sosial kepada masyarakat melebihi ekspektasi organisasi. Ini semua menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan kakitangan awam yang telah menyumbang perkhidmatan dengan efisien dan penuh tanggunjawab pada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.Penulis juga berpendapat agar kerajaan terus menjamin dan melindungi penjawat awam bagi semua kementerian dari arus globalisasi barat yang tidak menentu kerana penjawat awam adalah tulang belakang kerajaan dan ia juga sebagai pelaksana kepada agenda kerajaan . Juga disarankan agar kerajaan tidak terus menerima pakai bulat-bulat apa saja cadangan atau konsultansi dari pihak barat dalam program penambahbaikan dan transfomasi yang berlaku demi mengejar kemajuan . Kita harus maju dengan cara Malaysia kerana kita sudah lama merdeka.
KESIMPULAN
Mencari dan mendapatkan pendapatan yang lebih, memang tiada salahnya tetapi harus diingat bahawa matlamat tidak sama sekali menghalalkan cara. Ia harus mengikut lunas-lunas yang betul dan tertib agar rezeki yang masuk menjadi darah dan daging ke dalam tubuh badan kita adalah dari sumber yang halal dan berbaloi supaya kita diredhaiNya. Dapat menjadi akal dan fikiran seperti insan terbilang dan sebaik-baik manusia. Sebab apa saja yang kita masukkan ke dalam tubuh badan kita akan pasti ada produk sampingan atau buangannya. Kalau kita makan ‘makanan yang baik’ kita akan menjadi insan yang terbaik,insyaallah, dan begitu jugalah sebaliknya. Jangan jadikan amalan mengambil hak orang lain untuk kesenangan diri sendiri sebagai suatu budaya dalam kehidupan. Membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul harus menjadi amalan dalam kehidupan .Artikel ini harus dilihat pada persepsi yang lebih luas dan sejagat untuk kesejahteraan hidup yang lebih bermakna.Penulis amat mengagumi mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir b Mohamad ,tokoh korporat melayu terkenal Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan yang terbaru seorang lagi tokoh melayu yang berani dan berkarisma yang boleh penulis tafsirkan anak Malaysia yang berfikiran berani dan merdeka ialah Tan Sri Muhammad Ali Hashim . Bekas CEO dan Presiden Johor Corporation (JCorp) ,KFC Holding dan QSR Brand Bhd ini berani berfikiran menokah arus dan yakin dengan kebolehan berfikir secara kendiri, idealistik ,futuristik, inovatif dan patriotism dengan memperkenalkan konsep wakaf korporat dalam dunia peniagaan dan hubungan konsepnya dengan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan negara.Idea bernas beliau harus diteliti dan diterapkan dalam pentadbiran negara untuk kepentingan dan kesesuaian rakyat Malaysia amnya.Penulis juga ada melampirkan keratan-keratan akhbar tentang isu-isu yang ada kaitan dengan topik yang penulis paparkan sebagai sisipan tambahan kepada pembaca yang budiman.Teringat penulis pada sebuah lagu dendangan Ramli Sarip yang sebahagian liriknya berbunyi begini;
Dengarlah hai teman,….. Dengarkan bersama,…. Aku menulis bukan kerna nama,….. Kerna sifat kasih,pada sesama insan,…. Dan menyatakan kasih sayangku,…… Kita sama,semuanya sama…… Apalah yang ada hanyalah kehidupan……… Oleh : de Puncak Aspirasi Yang Menulis
Jejak Perjalanan....
Friday, December 28, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
TRAVELOG 2023 - TERJAHAN MEREDAH BENUA ( London , United Kingdom /Prague-Czech Republic/Vienna Austria/Istanbul Turkiye') 10 Januari, s...
-
Jalan Tapah-Cameron Highland Perlu Perubahan Relevan. Malaysia sebuah bumi bertuah yang kaya dengan flora dan faunany...
-
Coming soon .......from de' Puncak Aspirasi .
-
DILEMA KEHIDUPAN PENJAWAT AWAM DI ALAF METROPOLITAN ...
No comments:
Post a Comment